Custom Search

Sunday, September 28, 2008

Cinta

Cinta
Umpama sebuah kuasa sakti
Yang bisa menakluk setiap insan
Menyerah menjadi hambanya
Dalam kerajaan yang halimunan
Dan belum pasti kebahagiaannya


Cinta
Pantas meresapi hati pemujanya
Dengan sayang yang abadi
Dengan rindu yang mendalam
Malah dengan janji yang setia
Sebagai taruhan keikhlasan

Namun cinta
Tak pernah cuba memberitahu
Tentang kecewa yang pasti tiba
Tentang derita yang pasti menjengah
Andai kuasanya mula luntur
Di kala curang mula beraja



[27.09.08]
Kenyalang Putih @ Esairy Arys

Kesan Semalam

Di kala senja melabuhkan tirainya
Hadir khayalan melakar kenangan
Di atas kanvas berwarna jingga
Di antara hembusan bayu
Di celah-celah dahan rumbia
Yang tenang melangkau waktu

Detik-detik kenangan seakan terulang
Bila hati kembali dipaut rindu
Pada saat yang gemilang indah
Ketika cinta masih bertaut
Walau sudah lama terlerai hampa
Di atas gulungan sejarah

Terkadang terkhayal sejenak
Seakan baru semalam
Cerita cinta itu berakhir
Kerana kesannya masih terasa
Pada sisa-sisa rindu yang tertinggal
Di atas helaian hati
Yang terus menafikan perpisahan

[27.09.08]
Kenyalang Putih @ Esairy Arys

Memori Cinta Lama

Sedetik waktu beralih paksi
Seraut wajah kenangan menjelma
Membawa hembusan sejarah
Yang begitu mustahilnya menghilang
Akan terus menyelubungi langkah
Walau kemana pun arah dituju

Sepantas mata berkelip
Serumpun memori pasti mendatang
Bersama kisah-kisah janji
Bersalut rindu-rinduan yang berkabus
Terlindung di balik rahsia cinta
Yang pergi bersama seribu persoalan
Di benak yang terluka

[27.09.08]
Kenyalang Putih @ Esairy Arys

Sunday, August 31, 2008

M.E.R.D.E.K.A.!

M.E.R.D.E.K.A.!
Laungan keramat
Penuh kedaulatan
Untuk tanah tercinta
Yang bebas dari jeriji putih


M.E.R.D.E.K.A.!
Laungan semangat
Penuh kesyukuran
Untuk negara warisan
Yang lepas dari kesengsaraan

M.E.R.D.E.K.A.!
Untuk semua yang mengerti
Tentang sebuah kebebasan,
Tentang sebuah keamanan
Dari sebuah perjuangan
Yang penuh ketulusan

M.E.R.D.E.K.A.!
M.E.R.D.E.K.A.!
M.E.R.D.E.K.A.!
Untuk semua yang bernaung syukur
Di bawah panji berdaulat
Bernama Jalur Gemilang

[31.08.08]
Kenyalang Putih @ Esairy Arys

Satukanlah Hati Kita

Andai ada resah
Di sebalik bayangan rasa
Di celah kekusutan jiwa
Hilangkanlah
Satukanlah hati kita
Kerana kita adalah sama
Di bawah satu panji warisan

Andai ada gelisah
Di pelusuk ruangan percaya
Di seluruh mukim setia
Hancurkanlah
Satukanlah hati kita
Kerana kita adalah satu
Di bawah satu panji merdeka

[31.08.08]
Kenyalang Putih @ Esairy Arys

Saturday, August 30, 2008

FRIENDSHIP

Friendship
A word of strength
Between me, you and them
Born for love
Born for loyalty

Friendship
A land of power
Between me, you and them
Born for all
Born for peace

Friendship
A way of mighty
Between me, you and them
Born for all race
Born for religion

Friendship
A way of life
A way of love
On a line of PEACE!

[30.08.08]
Kenyalang Putih @ Esairy Arys

Friday, August 29, 2008

Untuk Yang Mengerti

Sehelai selendang kerinduan
Berbenangkan kasih sayang
Telah jatuh longlai
Terbang dibawa angin
Meninggalkan kisah setia
Yang pernah terungkap dulu

Seraut wajah tenang
Bernadikan ketulusan
Telah hilang di balik awan
Ditelan suratan dugaan
Pergi bersama kisah cinta
Yang berlalu tanpa suara

Untuk Yang Mengerti
Semuanya telah tersurat
Rindu berakhir di garis takdir
Terlerainya cinta semalam
Di kala setia membajai hati
Dan terhapus bersama sebuah kehilangan

[29.08.08]
Kenyalang Putih @ Esairy Arys