Custom Search

Sunday, September 28, 2008

Cinta

Cinta
Umpama sebuah kuasa sakti
Yang bisa menakluk setiap insan
Menyerah menjadi hambanya
Dalam kerajaan yang halimunan
Dan belum pasti kebahagiaannya


Cinta
Pantas meresapi hati pemujanya
Dengan sayang yang abadi
Dengan rindu yang mendalam
Malah dengan janji yang setia
Sebagai taruhan keikhlasan

Namun cinta
Tak pernah cuba memberitahu
Tentang kecewa yang pasti tiba
Tentang derita yang pasti menjengah
Andai kuasanya mula luntur
Di kala curang mula beraja



[27.09.08]
Kenyalang Putih @ Esairy Arys

Kesan Semalam

Di kala senja melabuhkan tirainya
Hadir khayalan melakar kenangan
Di atas kanvas berwarna jingga
Di antara hembusan bayu
Di celah-celah dahan rumbia
Yang tenang melangkau waktu

Detik-detik kenangan seakan terulang
Bila hati kembali dipaut rindu
Pada saat yang gemilang indah
Ketika cinta masih bertaut
Walau sudah lama terlerai hampa
Di atas gulungan sejarah

Terkadang terkhayal sejenak
Seakan baru semalam
Cerita cinta itu berakhir
Kerana kesannya masih terasa
Pada sisa-sisa rindu yang tertinggal
Di atas helaian hati
Yang terus menafikan perpisahan

[27.09.08]
Kenyalang Putih @ Esairy Arys

Memori Cinta Lama

Sedetik waktu beralih paksi
Seraut wajah kenangan menjelma
Membawa hembusan sejarah
Yang begitu mustahilnya menghilang
Akan terus menyelubungi langkah
Walau kemana pun arah dituju

Sepantas mata berkelip
Serumpun memori pasti mendatang
Bersama kisah-kisah janji
Bersalut rindu-rinduan yang berkabus
Terlindung di balik rahsia cinta
Yang pergi bersama seribu persoalan
Di benak yang terluka

[27.09.08]
Kenyalang Putih @ Esairy Arys